Selagi ada bas, cukup baju kami akan terus bersaing - Tuchel

Selagi ada bas, cukup baju kami akan terus bersaing – Tuchel

THOMAS TUCHEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Thomas Tuchel memuji pemain Chelsea kerana mengekalkan fokus ketika menumpaskan Norwich City 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, malah menegaskan, mereka akan terus bersaing hebat selagi dibenarkan berbuat demikian.

Blues melakukan perjalanan ke Carrow Road pada hari kerajaan United Kingdom (UK) mengenakan sekatan terhadap pemilik mereka, Roman Abramovich yang meletakkan masa depan kelab dalam keraguan.

Walaupun kerajaan mengesahkan kelab London itu boleh memenuhi jadual perlawanan dan terus beroperasi di bawah lesen khas, mereka bagaimanapun dilarang daripada membeli atau menjual pemain, selain dikenakan sekatan lain.

Di bawah situasi begitu, terdapat kebimbangan bagaimana Chelsea akan bertindak balas apabila berdepan Norwich.

Reaksi yang ditunjukkan cukup mengagumkan dengan Trevoh Chalobah menjaringkan gol pembukaan dalam masa tiga minit.

MASON Mount (kiri) meraikan jaringannya ketika membantu Chelsea menewaskan Norwich City hari ini. – AFP

Mason Mount menggandakan kedudukan pada minit ke-14, diikuti gol ketiga Kai Havertz di hujung permainan. Teemu Pukki menjaringkan gol tunggal Norwich pada minit ke-69 menerusi penalti.

“Bohonglah jika saya kata kami tidak mempunyai keraguan tetapi saya juga mempunyai banyak kepercayaan.

“Dalam keadaan sukar kami menghasilkan banyak keputusan dan persembahan yang baik agar boleh mempercayai mentaliti kami dan budaya kelab. Kami membenarkan diri kami fokus kepada bola sepak,” kata Tuchel.

Salah satu keputusan kerajaan ialah menghadkan perbelanjaan perjalanan pasukan kepada 20,000 pound (RM109,723).

Itu menyebabkan beberapa pihak menjangkakan Blues mungkin bergelut untuk memenuhi jadual perlawanan di tempat lawan terutama dalam saingan Eropah tetapi Tuchel memilih untuk  bersikap positif.

“Selagi kami mempunyai baju dan bas yang mencukupi untuk memandu ke kejohanan itu, kami akan berada di sana dan bersaing hebat,” katanya.

Tuchel mengakui situasi dengan Abramovich adalah gangguan, tetapi dia tetap komited dengan kelab itu.

“Berlaku kekecohan dan sudah tentu ia satu lagi gangguan terhadap pasukan tetapi kami tetap perlu berlawan dan jadual tidak berubah,” kata jurulatih dari Jerman itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya