PETALING JAYA: Selepas beberapa minggu membisu, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya mengesahkan dia akan meninggalkan sukan gimnastik yang telah diceburi sejak 25 tahun lalu.
Farah, 27, yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu mengesahkan mengenai pengundurannya dalam media sosial hari ini.
“Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil mengambil langkah berani menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar saya.
“Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.
“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik untuk semua memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa.
“Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya.
“Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan,” katanya.
Farah antara atlet gimnastik artistik negara paling berjaya dengan menggondol tujuh emas dalam Sukan SEA iaitu pada temasya Singapura 2015 (dua), Kuala Lumpur 2017 (dua) dan Manila 2019 (tiga pingat emas).
Dia juga mencipta sejarah muncul gimnas ketiga negara menempah Sukan Olimpik di Tokyo selepas Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens dan Au Li Yen di Sydney 2000. – UTUSAN ONLINE