PETALING JAYA: Biarpun sedih gagal mempertahankan kejuaraan badminton All England terutama selepas mendahului 16-12 namun Lee Zii Jia mengakui, prestasi yang ditunjukkan dalam dua kejohanan terakhir di Eropah tidaklah terlalu teruk.
Kelmarin, pemain No. 7 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh bintang sedang meningkat India, Lakshya Sen 13-21, 21-12, 19-21 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam, 16 minit di Birmingham Arena.
Mengakui, dia sepatutnya lebih sabar berdepan pemain yang gemar bermain rali, Zii Jia menegaskan, dia tidak beraksi di bawah tekanan, sebaliknya lawan mendapat tenaga luar biasa, terutama di hujung set penentuan.
“Sedih untuk menamatkan All England tahun ini di separuh akhir tetapi saya bertuah kerana mendapat sokongan padu di stadium, saya gembira bermain di Birmingham dan sekarang masanya untuk kembali berlatih bagi menyiapkan diri ke kejohanan seterusnya.
“Saya membazirkan peluang hari ini, terutama selepas mendahului 16-12 di set penentuan. Saya rasa, disebabkan dia (Lakshya) bermain secara rali, saya sepatutnya lebih bersabar dengan strategi permainannya.
“Saya akui, ini bukan permainan terbaik saya, namun saya berpuas hati dengan persembahan di sini, saya tidaklah main teruk sangat. Lagi pun saya sudah memberi yang terbaik (kalah melawan),” kata perseorangan profesional negara itu.
Selepas muncul juara All England pada 21 Mac tahun lalu, pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu telah menyertai 11 kejohanan (individu), di mana dia gagal memenangi semua gelaran yang ditawarkan.
Pencapaian terbaik Zii Jia adalah melangkah ke final Terbuka Hylo 2021 di Jerman, di mana dia tewas 19-21, 21-13, 17-21 kepada Loh Kean Yew dari Singapura.