ALOR SETAR: Penyandang juara Piala FA musim lalu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan mudah dengan menewaskan pasukan Liga M3, Sains FC 4-0 pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam ini.
Anak-anak buah Aidil Shahrin Sahak membuka jaringan awal menerusi sentuhan pemain sayap, Fayadh Zulkifli yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Sains FC, Jibrail Kamaron Baharin pada minit ke-18.
Pemain KDA FC selepas itu menguasai perlawanan dan melakukan serangan berbahaya di hadapan pintu gol lawan bagi menambah jaringan, namun benteng pertahanan Sains FC berjaya mematahkan serangan pemain muda tuan rumah seperti Fayadh dan Aiman Afif.
Pada separuh masa, pemain KDA FC tampil lebih garang untuk menambah jaringan bagi memburu kemenangan pada perlawanan tersebut.
Hasilnya, KDA FC berjaya memperoleh jaringan gol kedua melalui Fayadh selepas dua minit perlawanan separuh masa kedua bermula menerusi rembatan kencang ke gawang lawan.
Kesebelasan pemain muda Kedah yang beraksi pada perlawanan itu masih belum puas dengan jaringan tersebut dan terus melakukan asakan dan berjaya menjaringkan gol ketiga melalui percubaan Ameer Azahar pada minit ke-50.
Pada minit ke-59, Kedah berjaya memperoleh gol keempat menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti yang diambil Ameer Azahar tepat mencecah jaring lawan. – UTUSAN ONLINE