ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) mencatat kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan Kuala Lumpur City (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman malam ini.
Keazaman mereka untuk mencatat kemenangan, jelas dizahirkan sejak dari awal permainan dengan sekurang-kurangnya lima percubaan merbahaya dilancarkan kubu lawan dalam tempoh 21 minit pertama.
Begitupun semua percubaan yang dilakukan Mohamad Al-Hafiz Harun, Dechi Marcel N’Guessan, Jang Sukwon, Ronald Ngah Wanja dan Muhamad Syafiq Ahmad pada minit ketujuh, sembilan, 15, 19 dan 21 berjaya dipatahkan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza selain sedikit melewati palang gol.
Di sebalik keghairahan Kedah melakukan serangan, KL City pula yang terlebih dulu membuka jaringan apabila rembatan Zhafri Yahya dalam kotak penalti gagal dikeluarkan penjaga gol Kedah, Mohd. Shahril Shaari meskipun dia sudah merebahkan badan pada minit ke-28.
Gol itu bagaimanapun tampak langsung tidak merentap semangat skuad Kenari apabila anak-anak buah Aidil Sharin Sahak dilihat terus menggandakan serangan.
Hasilnya pada minit ke-32, penyerang kebangsaan, Syafiq menceriakan penyokong tuan rumah apabila bola tandukannya menerjah ke kiri jaring lawan untuk menyamakan kedudukan.
Seminit sebelum separuh masa pertama berakhir, Ronald Ngah memiliki peluang meletakkan KDA di depan ketika dia berjaya meloloskan diri dan cuma berdepan satu sama satu dengan Kevin Ray.
Percubaan penyerang import dari Cameroon itu terlalu lemah dan sekadar membias di kaki Kevin Ray yang juga penjaga gol kebangsaan Filipina.
Memasuki babak kedua, permainan menjadi sedikit membosankan dengan kedua-dua pasukan dilihat amat berhati-hati beraksi dalam hujan lebat.
Selepas hujan berhenti kira-kira 15 minit kemudian, gerakan kembali teratur dengan penyerang import KL City, Kevin Koubemba berjaya melakukan rembatan kencang namun berjaya ditepis Mohd. Shahril Saari.
Melihat segalanya bagai kurang menjadi, Aidil Sharin menukar percaturan dengan memasukkan Mohd. Fadzrul Danel dan Mohammad Fayadh Mohd. Zulkifli pada minit ke-66.
Tindakan itu nyata membawa perubahan besar kepada corak permainan Sang Kenari apabila Mohamad Fayadh berjaya melepasi perangkap offside pasukan pelawat, bagi melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Kevin Ray bagi meletakkan KDA di depan pada minit ke-67.
Hanya dua minit berselang, Mohamad Fayadh sekali lagi menggumamkan Juara Piala Malaysia 2021 bimbingan Bojan Hodak itu apabila gerakan dimulakannya di sebelah kiri padang, disambung Syafiq Ahmad yang melakukan tolakan kepada Dennis Buschening untuk pemain tengah kelahiran Jerman itu meledak gol ketiga KDA FC dari dalam kotak penalti.
Hanya tiga minit sebelum perlawanan berakhir, Mohd. Shahril Saari bagaimanapun melakukan kesilapan tidak sepatutnya apabila tandukan lemah Kevin Koubemba yang tepat menghala kepadanya, gagal didakap kemas lalu melantun ke gawangnya sendiri untuk gol kedua pelawat. – UTUSAN ONLINE