PETALING JAYA: Dibarisi ramai bintang baharu dan beraksi pula di laman sendiri, Sabah bagaimanapun gagal memanfaatkan segala kelebihan apabila tumpas 0-1 kepada pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan dalam aksi pembukaan di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
Jaringan tonggak pertahanan, Khair Jefri Jones pada minit ke-51 yang menyudahkan bola hasil sepakan bebas memastikan tiga mata penuh dibawa pulang skuad Hobin Jang Hobin, sekali gus memberi permulaan sempurna buat juara Liga Perdana musim lalu.
Biarpun skuad Sang Badak berhempas pulas untuk mencari gol penyamaan dan memasukan penyerang veteran, Amri Yahyah menggantikan Park Taesu bagi menajamkan serangan, namun ia gagal menembusi benteng kebal Negeri Sembilan.
Tuan rumah mempamer aksi agresif pada babak pertama, malah membuka jaringan menerusi Neto Pessoa tetapi jaringannya pada minit ke-24 dibatalkan kerana ofsaid.
Neto sekali lagi berpeluang menjaringkan gol pada minit terakhir babak pertama melalui sepakan penalti kontroversi, bagaimanapun penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed muncul wira pasukannya dengan menyelamatkan tendangan. – UTUSAN ONLINE