PETALING JAYA: Sabah bangkit daripada kekalahan dalam aksi pembukaan selepas menumpaskan Petaling Jaya City (PJ City) 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Kemenangan itu membolehkan anak-anak buat Datuk Ong Kim Swee menebus kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di tempat sama dalam perlawanan pertama, Jumaat lalu.
Dua jaringan Sang Badak pada masa pertama terhasil menerusi tandukan dua pemain import, Jackson De Souza pada minit ke-16 dan Netto Pesoa, minit ke-35.
Kedua-dua jaringan berpunca daripada situasi bola mati, di mana gol pertama bermula dari sepakan bebas serta tendangan penjuru yang diambil bintang tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.
S. Kumaahran yang muncul wira PJ City ketika mengejutkan Melaka United 1-0 minggu lalu sekali mencetak nama sebagai penjaring, menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menangkap bola kemas pada minit ke-45 untuk kedudukan 2-1.
Memasuki babak kedua, Sabah kembali mempamer aksi agresif dan serangan bertali arus yang dilancarkan ke kubu The City Boys akhirnya berhasil pada minit ke-47.
Jaringan berpunca daripada sepakan bebas pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani dari luar kotak penalti yang menuju ke penjuru gawang tanpa dapat dihalang penjaga gol PJ City, Muhamad Aqil Abdul Razak. – UTUSAN ONLINE