KUALA LUMPUR: Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Abdul Halim berkata, persengketaan dia dengan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim telah selesai dan tidak dibawa ke dalam kem Harimau Malaya.
Faisal atau lebih dikenali dengan julukan Mickey berkata, dia dengan Safiq ketika ini tiada sebarang masalah dan menyertai latihan seperti biasa, sama seperti pemain-pemain kebangsaan yang lain.
“Saya dengan Safiq tiada masalah apa…saya main (berlatih) dalam satu pasukan kadang-kadang saya main sayap kanan dia main tengah, bila saya mintak bola dia tetap bagi kepada saya. Safiq sebenarnya seorang yang baik.
“Cuma biasalah orang tua kan, dia suka marah-marah…itulah tetapi bagi saya Safiq seorang yang profesional. Saya pun tiada nak bawa kes lepas ke sini (kem Harimau Malaya). Saya ‘ok’, dia pun ‘ok’, kira semua selesai,” katanya.
Faisal berkata demikian bagi mengulas ‘cakap-cakap’ peminat bola sepak negara yang mengatakan dia dan Safiq masih tidak bertegur dalam kem skuad kebangsaan ekoran pergeseran kedua-dua pemain itu sebelum ini.
Pada aksi separuh akhir Piala Malaysia tahun lalu, ketika bermain untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq bertindak agresif apabila menghantuk kepala Faisal yang menyebabkan bekas kapten Harimau Malaya itu dikenakan kad merah.
Tindakan Safiq itu tidak ubah seperti insiden final Piala Dunia 2006 yang menyaksikan legenda Perancis, Zinedine Zidane menanduk pertahanan Itali, Marco Materazzi hingga dibuang padang.
Safiq yang ketika ini berumur 34 tahun kembali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya bagi menguatkan jentera tengah skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon. – UTUSAN