Ronaldo, Rangnick tak sehaluan? - Utusan Malaysia

Ronaldo, Rangnick tak sehaluan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United yang masih terluka dengan kekalahan 1-4 kepada Manchester City, Isnin lalu kini dalam dilema sama ada mahu menurunkan Cristiano Ronaldo atau tidak dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham esok.

Ronaldo, 37, yang terlepas perlawanan di Etihad kerana kecederaan pinggul menegaskan, dia tidak sabar untuk kembali ke padang menentang Tottenham pada ketika masa depannya di Old Trafford terus mencetus tanda tanya.

Biarpun pengendali Red Devils, Ralf Rangnick berulang kali mengatakan Ronaldo diketepikan dalam pertemuan dengan City kerana kecederaan, namun tidak semua yakin dengan alasan yang diberikan jurulatih dari Jerman itu.

Pada ketika Rangnick belum membuat keputusan mengenai Ronaldo, kapten Portugal itu memberi mesej jelas bahawa dia mahu beraksi dan sudah kembali menjalani latihan penuh.

Ronaldo menggunakan pengaruh media sosial untuk menyampaikan mesej kepada Rangnick apabila memuat naik gambar sedang berlatih di Carrington berserta kapsyen: “Kerja keras ke arah pemulihan. Bersemangat untuk kembali ke padang dan membantu pasukan.”

Status itu hadir beberapa hari selepas spekulasi tersebar mengatakan ejen Ronaldo, Jorge Mendes menenangkan pemain itu yang berang selepas Rangnick memberitahunya dia akan diletakkan di bangku simpanan dalam pertemuan dengan City atas ‘sebab taktikal’.

Kecewa dengan perkembangan itu, Ronaldo terbang ke Portugal ketika United sedang menentang City, tindakan yang dikecam oleh Rangnick yang menegaskan, dia lebih suka pemainnya menjalani pemulihan bersama kelab sendiri.

Jika Ronaldo tidak diturunkan, Marcus Rashford mungkin mengetuai jentera serangan dengan formasi 4-2-3-1 menjadi pilihan United, yang kini amat terdesak untuk memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

Red Devils kini menghuni tangga kelima dengan 47 mata, satu mata di belakang pasukan tempat keempat, Arsenal yang memiliki kelebihan tiga perlawanan.

TOTTENHAM perlu menang untuk menghidupkan peluang mencabar kelompok empat terbaik.

SPURS TANPA TIGA TONGGAK

Sementara itu, Spurs yang turut terdesak untuk memburu kedudukan empat teratas berdepan tugas berat apabila bertandang ke Old Trafford tanpa tiga tonggak – Ryan Sessegnon, Oliver Skipp dan Japhet Tanganga.

Dijangka menggunakan formasi 3-4-3, Dejan Kulusevski, Harry Kane dan Son Heung-min bakal membentuk jentera serangan Spurs untuk merobek benteng United yang kembali diperkuatkan oleh Raphael Varane. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya