MANCHESTER: Manchester United disaran melepaskan sembilan pemain, termasuk Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba selepas mengharungi satu lagi musim mengecewakan, gagal memenangi sebarang trofi.
Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick kedua-duanya bergelut untuk mengeluarkan yang terbaik daripada Red Devils, malah pasukan itu berisiko gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan kerana menghuni tangga kelima liga, satu mata di belakang Arsenal yang memiliki kelebihan dua perlawanan.
United juga sudah tersingkir daripada saingan Eropah musim ini selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Atletico Madrid pada pusingan 16 akhir.
Bekas bintang Tottenham, Darrent Bent percaya United perlu merombak skuad secara besar-besaran jika mahu merubah nasib mereka musim depan.
“Orang yang patut dikekalkan (David) de Gea, begitu juga (Raphael) Varane tetapi saya fikir anda memerlukan bek kanan baharu. Saya tidak fikir Scott McTominay cukup bagus.
“Saya rasa Fred seorang yang pelik kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dia seperti hilang arah. Kalau anda mahu membina semula pasukan yang berjaya, dia patut pergi.
“(Jadon) Sancho harus kekal, namun Ronaldo perlu pergi, (Edinson) Cavani kena pergi. (Marcus) Rashford seorang pemain yang mana dia boleh mendapatkan rentak terbaik jika bertemu jurulatih sesuai, lagi pun dia masih muda, jadi kekalkan.
“(Paul) Pogba kena pergi, dia bebas pada penghujung musim ini. Saya amat meminati Pogba sebagai pemain tetapi peminat Manchester United semakin muak dengannya,” katanya.
Rabu lalu, United tumpas 0-1 kepada Atletico di laman sendiri, sekali gus menamatkan peluang tipis mereka untuk meraih trofi dalam Liga Juara-Juara secara agregat 1-2. – AGENSI