LONDON: Akhbar Portugal minggu ini ‘taksub’ dengan berita Cristiano Ronaldo memandu kereta Aston Martin bernilai 230,000 (RM1.27 juta) yang pernah muncul dalam filem James Bond ‘No Time to Die’.
Tiada satu pun berani mencadangkan pemain itu mungkin menerima nasib seperti Daniel Craig, watak utama James Bond yang meninggalkan filem aksi tersebut.
Sepuluh hari dari sekarang mungkin detik terakhir Ronaldo di pentas antarabangsa kerana Portugal bakal beraksi dalam playoff Piala Dunia 2022.
Ronaldo yang sudah membuat empat penampilan Piala Dunia akan mengetuai Portugal menentang Turki di Stadium Dragao, Porto, Khamis ini.
Jika menang, mereka mungkin berdepan Itali, lima hari kemudian dalam playoff terakhir, namun jika kemenangan tidak memihak Portugal, itu mungkin aksi terakhir Ronaldo bersama skuad kebangsaan.
Peminat Portugal terlalu ‘obses’ dengan Ronaldo sehingga semua tumpuan terarah kepada memastikan dia dapat beraksi di Qatar berbanding memikirkan bolehkah Portugal layak.
“Situasi Ronaldo hampir seperti masalah politik, sesuatu yang memerlukan sidang kemuncak untuk mencapai persetujuan mengenai strategi atau menyediakan pelan persaraan buat Ronaldo dalam skuad kebangsaan.
“Hujah bahawa Portugal boleh bermain lebih baik tanpa Ronaldo sukar diterima, terutama ketika pasukan tidak mempunyai rekod besar bila beraksi dalam situasi sebegitu,” kata Sergio Pires dari Mais Futebol.
Begitupun kata Pires, ramai lupa Portugal tidak pernah kalah dalam perlawanan yang berlangsung tanpa Ronaldo sejak September 2014, malah mereka menewaskan Croatia 4-1 tanpa bintang Manchester United itu dalam Liga Negara-Negara pada September 2020.
Portugal memiliki kumpulan individu hebat seperti Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Diogo Jota serta Joao Felix, dan strategi lebih efisien dapat digunakan dengan pemain-pemain ini.
“Keadaan akan berbeza jika Cristiano beraksi. Dia pemain penting tetapi semua pemain lain perlu bermain untuknya seperti menghantar bola kepadanya. Pasukan akan menjadi seperti Ronaldo campur 10.
“Permainan Portugal lebih tenang tanpa Ronaldo, pasukan lebih bagus tanpanya,” kata seorang bekas pemain yang tidak berani mendedahkan namanya. – AGENSI