RM400,000 kos 2 perlawanan dan mungkin dibelasah, berbaloikah?

RM400,000 kos 2 perlawanan dan mungkin dibelasah, berbaloikah?

SUKAN SEA bukan medan pendedahan terbaik buat skuad bola sepak wanita Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mengeluarkan kos RM400,000 hanya untuk beraksi dalam dua perlawanan Sukan SEA, jumlah yang amat tidak berbaloi dan antara faktor mengapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menghantar skuad wanita  ke Hanoi, Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, secara realistik, peluang Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan amat sukar kerana lawan yang perlu ditentang adalah pasukan bertaraf Piala Dunia seperti Thailand, Filipina atau Vietnam, malah Myanmar juga berada di tahap yang jauh lebih tinggi.

Katanya, RM400,000 tersebut adalah kos tersebut pengangkutan, penginapan, makanan, elaun pemain dan sebagainya sepanjang temasya 12 hingga 23 Mei.

“Kita perlu menanggung kesemua perbelanjaan ini yang melibatkan kos RM400,000 kerana pasukan kita diletakkan di bawah kategori C.

“Kesemua kos tersebut terpaksa kita tanggung dan selepas itu, para pemain hanya akan bermain dua perlawanan peringkat kumpulan bertemu pasukan berkelas dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

SURAYA YAACOB

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan FAM tidak menghantar skuad bola sepak wanita ke Sukan SEA Vietnam selepas memberikan alasan kekuatan pasukan lawan di pentas antarabangsa hanya akan menyebabkan Harimauwati Malaya dibelasah pada temasya tersebut.

Menurut Suraya, perlu diingat penampilan negara-negara bertanding adalah untuk mengejar pingat dan kehadiran Malaysia pula hanya untuk dibelasah oleh lawan.

Skuad kendalian Jacob Joseph tewas kepada Myanmar dan Filipina dalam laluan menduduki tangga terakhir Kumpulan A di Sukan SEA 2019. Di depan penyokong sendiri pada 2017, Malaysia kalah empat perlawanan – 1-2 kepada Filipina, 0-5 di tangan Myanmar serta dibelasah 0-6 oleh Thailand dan Vietnam.

Jelasnya, mengambil kira pengalaman pada temasya di Filipina, dua tahun lalu, sudah cukup memeritkan apabila menyaksikan moral pemain-pemain jatuh selepas tewas dengan jumlah jaringan yang besar.

“Masih terbayang-bayang dalam ingatan saya melihat betapa kecewanya pemain selepas dibelasah.

“Pada Sukan SEA hanya pasukan bertaraf dunia yang bertanding dan kebanyakan negara tidak hantar pasukan mereka.

“Bagi saya lebih elok jika kita menghantar pasukan beraksi pada pertandingan yang dapat memberikan mata bagi memperbaiki ranking kita,” ujarnya.

Beliau memberitahu, berbeza dengan penampilan pada Piala AFF, skuad kebangsaan akan beraksi dalam lebih banyak perlawanan dan mereka akan mendapat pengalaman yang lebih baik berbanding Sukan SEA.

“Bagi kita masa untuk bentuk pasukan lebih baik kerana bermula Mei ini kita akan mulakan Liga Bola Sepak Wanita yang melibatkan 16 pasukan bertanding dalam lima zon. Selepas itu, lapan pasukan terbaik akan bertanding bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya