MADRID: Kurang seminggu selepas dimalukan dalam perlawanan El Clasico menentang Barcelona, Real Madrid semakin ‘panas’ dengan Gareth Bale dan Eden Hazard antara lapan pemain yang bersedia meninggalkan kelab hujung musim ini.
Anak-anak buah Carlo Ancelotti kekal menerajui La Liga dan berada di landasan terbaik untuk merampas kejuaraan yang terlepas kepada jiran mereka, Atletico musim lalu.
Mereka juga layak ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG), dan akan berdepan Chelsea di peringkat seterusnya.
Begitupun, kekalahan 0-4 kepada Barcelona di depan penyokong sendiri, Isnin lalu sukar diterima dan ketiadaan penjaring terbanyak, Karim Benzema dalam perlawanan itu akibat kecederaan mendedahkan betapa rapuhnya Los Blancos.
Real berharap untuk mengutip 200 juta pound (RM1.12 bilion) hasil penjualan lapan pemain dan menggunakan wang tersebut untuk merekrut pemain baharu.
Ia tidak mengejutkan melihat Bale dalam perjalanan keluar kerana bintang Wales itu gagal mendapat minit permainan yang banyak sejak beberapa tahun lalu.
Dia gagal mengulangi pencapaian hebat ketika membantu Real muncul juara Liga Juara-Juara 2018, apatah lagi prestasinya pada awal-awalnya musim menyertai pasukan itu pada 2013.
Kapten kelab, Marcelo juga dalam perjalanan keluar setelah menghabiskan lebih sedekad di ibu kota Sepanyol, manakala Isco dijangka mencari ‘rumput baharu’.
Kontrak Luka Modric akan tamat pada Jun tetapi dijangka menerima tawaran lanjutan setahun.
Real tidak mungkin mendapat pulangan 89 juta pound (RM496 juta) yang dikeluarkan ketika membeli Hazard dari Chelsea, namun selepas tiga tahun menanggung kerugian mereka merasakan sudah tiba masanya bintang Belgium itu dilepaskan.
“Biarpun ketika Benzema dan Bale mengalami kecederaan, Mariano (Diaz), (Luka) Jovic, Isco dan Rodrygo seolah-olah tidak dipandang oleh Ancelotti,” begitulah situasi yang digambarkan oleh akhbar AS. – AGENSI