IPOH: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mencabar keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang menerima Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yang baru ditubuhkan menjadi ahli gabungan.
Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, ini kerana keputusan Astaf itu dibuat tanpa MSC memperoleh dan memenuhi syarat dalam Perlembagaan Astaf Artikel 12 (Keahlian) Perkara 7.
Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Astaf, permohonan untuk menjadi ahli gabungan harus disertakan surat pengesahan dan pengiktirafan daripada Majlis Olimpik negara.
Beliau berkata, Perlembagaan Astaf turut menyebut keperluan pengiktirafan oleh kerajaan melalui Pesuruhajaya Sukan (PJS) sebagai badan induk kebangsaan sebelum boleh diterima sebagai ahli gabungan Astaf.
“Dalam hubungan ini, sekiranya terdapat dokumen yang menyatakan sedemikian oleh PJS, maka telah wujud dua badan induk kebangsaan bagi sukan sepaktakraw dan ini jelas melanggar prinsip yang ditetapkan PJS.
“Keputusan membentuk sebuah badan induk sukan yang baharu boleh dipertikaikan apabila MSC hanya disertai enam persatuan negeri manakala PSM sebagai badan induk asal, mempunyai 10 persatuan negeri dan empat ahli bersekutu, yang jelas menunjukkan jumlah majoriti.
“PSM akan mencabar keputusan Astaf di mahkamah. Sama ada perkara ini akan turut dibawa hingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), itu saya akan bincang dengan pasukan peguam esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi PSM di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Mohd. Sumali berkata, mesyuarat hari ini juga memutuskan Persatuan Sepaktakraw Kedah disingkirkan daripada ahli gabungan PSM.
Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas PSM mendapati persatuan itu sudah berada dalam ahli gabungan MSC.
“PSM sudah memberi ruang, memberi surat sebagai mereka menyatakan pendirian sama ada bersama PSM atau MSC malah kita bagi tempoh tapi tiada respon.
“Jadi mesyuarat hari ini sebulat suara kita putuskan Persatuan Sepaktakraw Kedah singkirkan daripada ahli gabungan PSM,” katanya.
Menurutnya, PSM juga akan mencabar kesahihan keputusan Astaf pada Mei lalu yang menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan itu hanya kerana tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, yang diambil atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden Astaf ketika itu.
“Keputusan Astaf itu juga dilihat sebagai satu pelanggaran kepada peruntukan dalam Perlembagaan Astaf berkenaan proses penggantungan dan penyingkiran mana-mana ahli,” katanya. – UTUSAN ONLINE