Portugal, Ronaldo dalam bahaya? - Utusan Malaysia

Portugal, Ronaldo dalam bahaya?

CRISTIANO Ronaldo (tengah) menjalani latihan bersama skuad Portugal di kem Cidade do Futebol, Oeiras, Lisbon semalam menjelang pertemuan menentang Turki esok. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Portugal menerima tamparan hebat menjelang playoff kelayakan Piala Dunia 2022 esok apabila berdepan krisis kecederaan, kesihatan dan penggantungan pemain yang turut menyebabkan Cristiano Ronaldo berisiko terlepas peluang terakhir untuk beraksi.

Juara Eropah 2016 itu akan berdepan Turki dalam separuh akhir playoff di Porto selepas menduduki tangga kedua di belakang Serbia pada peringkat kumpulan kelayakan.

Pemenang perlawanan kemudian akan menentang sama ada penyandang juara Eropah, Itali atau Macedonia Utara untuk merebut tiket ke pusingan akhir di Qatar yang berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember.

Ronaldo, 37, menjaringkan lebih banyak gol berbanding pemain Portugal lain di peringkat kumpulan dengan enam gol, namun ketiadaan beberapa tonggak akan menyukarkan harapan anak-anak buah Fernando Santos untuk layak ke Piala Dunia.

Pasukan itu sudah pun kehilangan Joao Cancelo dan Renato Sanches akibat penggantungan.

Kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning ketika kalah 1-2 kepada Serbia di laman sendiri, November lalu.

Kini, pertahanan Manchester City, Ruben Dias dan dua bintang Wolverhampton Ruben Neves (tengah) serta Nelson Semedo (bek kanan) juga diketepikan daripada perlawanan menentang Turki akibat kecederaan.

Dias dan Semedo sudah direhatkan sejak beberapa minggu lalu, manakala Neves mengalami kecederaan lutut dalam ketika Wolverhampton tewas kepada Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Jumaat lalu.

Memburukkan lagi keadaan, pertahanan kental Porto, Pepe pula disahkan positif Covid-19 dan terpaksa melupakan perlawanan.

Ronaldo adalah penjaring ke­dua tertinggi Portugal dalam Piala Dunia dengan tujuh gol daripada kejohanan.

Dia akan menjangkau usia 41 tahun apabila Piala Dunia 2026 berlangsung, dan ketika ini hanya ada seorang pemain padang (bukan penjaga gol) beraksi di Piala Dunia pada usia 40-an iaitu Roger Milla bersama Cameroon. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya