PORTO, Portugal: Pengendali Portugal, Fernando Santos berulang kali memberi amaran kepada pemainnya jangan memandang remeh kemampuan Macedonia Utara selepas melihat kejutan dilakukan pasukan kerdil Eropah itu ke atas Itali semalam.
Portugal mara ke final playoff Piala Dunia 2022 selepas menyingkirkan Turki 3-1 dalam aksi mendebarkan di Porto, namun pasukan yang dijangka bertemu mereka Selasa depan, Itali disingkirkan Macedonia 0-1 di Palermo.
Melihat kejutan tersebut, Santos berkata, dia sudah banyak kali mengingatkan pemain agar menghormati Macedonia.
“Kami perlu menunjukkan rasa hormat yang sama kepada Macedonia Utara seperti yang kami lakukan kepada Itali.
“Saya sering katakan sebelum ini, tidak mustahil kami boleh bertemu mereka dan ia bukan jenaka. Kami akan bertemu dalam final, jadi pasukan harus fokus dan memberi tumpuan.
“Macedonia pergi ke Itali dan mengalahkan juara Eropah, apa yang boleh anda jangkakan (Selasa ini),” kata Santos.
Portugal, juara Eropah 2016 terselamat daripada drama lewat permainan apabila Turki dihadiahkan penalti lima minit sebelum tamat perlawanan ketika tuan rumah hanya mendahului tipis 2-1.
Mereka bagaimanapun lega, sepakan Burak Yilmaz melepasi palang dan mengelak perlawanan di Stadium Dragao berlanjutan ke masa tambahan.
“Kami tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku dalam perlawanan yang mana kami mengawal permainan sepenuhnya. Turki adalah amaran kepada pasukan menjelang aksi Selasa depan,” katanya.
Portugal mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Otavio dan Diogo Jota, namun Turki mula mengancam sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, dan Yilmaz berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-65.
Pertahanan Portugal, Jose Fonte kemudian mengasari Enes Unal dalam kotak penalti di minit ke-85 untuk menghadiahkan sepakan penalti yang bagaimanapun gagal disempurnakan Yilmaz.
Empat minit memasuki waktu kecederaan, Nuno Mendes melegakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol ketiga mereka. – AGENSI