KANGAR: Perlis United FC berjaya mencipta kejutan sensasi menewaskan PDRM FC 2-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium KLFA, Cheras semalam, sekali gus menjadi pasukan Liga M3 pertama yang layak ke pusingan kedua kejohanan tersebut.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada pasukan bimbingan Azizul Abidin itu untuk terus beraksi cemerlang dalam saingan Liga M3.
Malah, Perlis United juga bersedia menentang mana-mana pasukan termasuk dari Liga Super dalam pusingan kedua Piala FA nanti.
Dalam aksi semalam, Perlis menyajikan aksi cukup memukau menentang pasukan Liga Perdana itu dengan menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma cantik oleh Azrizan Ahmad pada minit ke-25.
Perlis melengkapkan kemenangan penuh bergaya apabila Faizal Kadir menjaringkan gol kedua menerusi sepakan voley cantik dari luar kotak penalti pada masa kecederaan minit ke-95 sekali gus menunjukkan jalan keluar kepada PDRM dalam edisi Piala FA kali ini.
Pengurus Perlis United FC, Mohd. Shukur Roshidi berkata, kemenangan tersebut sungguh bermakna yang sekali gus mencipta kejutan layak ke pusingan kedua Piala FA.
Katanya, kemenangan tersebut juga memberi menjadi pemangkin semangat kepada pasukan untuk terus mempamerkan kebangkitan dalam saingan Liga M3.
Ujarnya, para pemain telah mempamerkan aksi luar biasa dan penuh semangat sehingga berjaya mencipta kemenangan meskipun menentang pasukan kuat dari Liga Perdana.
“Kita berada dalam keadaan penuh semangat menjelang aksi Liga M3 seterusnya, selain bersedia untuk terus memberi saingan dalam pusingan kedua Piala FA selepas ini.
“Kita bersedia menentang mana-mana pasukan termasuk pasukan daripada Liga Super dalam pusingan kedua Piala FA selepas ini.
“Tahniah diucapkan kepada semua pemain yang mempamerkan permainan penuh bersemangat sehingga kita berjaya menjadi pasukan dari Liga M3 pertama layak ke pusingan kedua Piala FA,” katanya.