IPOH: Hasrat peminat menyaksikan aksi sulung Liga Perdana Perak FC tidak kesampaian apabila perlawanan menentang Kelantan United yang dijadualkan di Stadium Perak di sini malam esok ditunda.
Penundaan itu dibuat berikutan penularan penyakit Covid-19 dalam kalangan pegawai dan pemain pasukan Perak FC.
“Dukacita dimaklumkan bahawa perlawanan Liga Premier 2022 antara Perak FC melawan Kelantan United yang dijadualkan pada 5 Mac 2022 Sabtu pukul 9 malam terpaksa ditunda ” kata kelab dalam satu kenyataan hari ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan memaklumkan tarikh baharu perlawanan.
Perlawanan seterusnya untuk Perak FC di Stadium Perak, Ipoh adalah pada 14 Mac bagi saingan Piala FA melawan Kijang Rangers FC.
Ini perlawanan ketiga Liga Perdana yang terpaksa ditunda ketika musim 2022 baru hendak bermula esok selepas petemuan Selangor FC II menentang skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM, Shah Alam esok dan PDRM FC berdepan Kuching City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin ini turut ditunda akibat Covid-19. – UTUSAN ONLINE