PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) baru bermula, namun saingan sudah dicemari dengan insiden pergaduhan penyokong.
Selepas tamat pertemuan dua seteru Lembah Klang, Kuala Lumpur City (KL City) dan Selangor FC malam tadi, satu video klip yang dikongsi seorang pengguna Twitter tular di media sosial menyaksikan penyokong saling bertumbuk di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Apa yang mengecewakan, ini adalah insiden pergaduhan kedua dalam tempoh seminggu melibatkan peminat bola sepak.
Pada 27 Februari lalu, kekecohan turut berlaku di luar Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalahkan KL City 3-0 dalam saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, di mana balingan suar telah mendatangkan kecederaan.
Dalam insiden di Cheras malam tadi, seorang penyokong dilihat menendang salah seorang individu yang sedang bergelut dengan penyokong lain, dan dalam masa sama pergaduhan itu cuba dileraikan oleh seorang anggota polis.
Situasi menjadi lebih buruk apabila beberapa penyokong lain cuba masuk campur dengan mengejar kumpulan penyokong yang menendang tadi. – UTUSAN
Panas di luar Stadium KLFA Cheras! ? pic.twitter.com/udtRFjQmWU
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 4, 2022