LIVERPOOL: Penyokong Everton yang marah dengan kekalahan 4-0 pasukan itu kepada Crystal Palace pada suku akhir Piala FA kelmarin mendesak kelab agar memecat pengurus pasukan, Frank Lampard hanya selepas 78 hari dia membimbing kelab.
Skuad The Toffees mempamer aksi buruk di Selhurst Park dengan membenarkan gawang dibolosi empat kali dan dalam masa sama gagal melancarkan ancaman ke kubu lawan.
Keputusan itu meresahkan peminat ketika kedudukan mereka dalam Liga Perdana juga tidak menentu dengan menghuni tangga keempat tercorot susulan kekalahan berturut-turut iaitu 0-1 kepada Wolverhampton dan 5-0 di tangan Tottenham.
“Pecat Lampard,” tulis pemilik akaun Twitter Evertxn.
“Ya, pecat Lampard sebaik sahaja pasukan kita sudah selamat. Pergi dapatkan pengurus yang betul,” kata Bluesofgoodison.
Peminat dengan akaun OllieBrooks bertanya, mengapa Everton memecat Rafael Benitez Januari lalu.
“Mengapa Everton menyingkirkan Rafa dan melantik Lampard dalam pertarungan penyingkiran,” tulisnya.
“Rafa pengurus yang lebih bagus dan berpengalaman juga bergelut, jadi apa yang anda harapkan daripada Frank Lampard?” kata Oyeniyioyeyemi7. – AGENSI