JOHOR BAHRU: Ketiadaan beberapa pemain disebabkan positif Covid-19 serta mengalami kecederaan menyebabkan pasukan Kelantan United tersungkur 0-2 di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan pertama Liga Perdana kelmarin.
Bagaimanapun, Syamsul Saad tetap memuji kepada pemainnya yang mampu melakukan tugas baik dengan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain utama berkenaan walaupun gagal melakukan sentuhan penyudah.
Beliau berkata, Haziq Subri, Amirul Shafik dan Nik Azli Nik Alias didapati positif Covid-19 manakala penyerang import, Jacob Njoku pula tidak dapat diturunkan dipercayai mengalami kecederaan hamstring.
“Jadi saya tak banyak pilihan, bukan setakat terpaksa membuat rombakan skuad utama malah melakukan pertukaran posisi apabila terpaksa meletakkan pemain bek kanan bermain di sayap kanan.
“Sebenarnya, kita sudah mengkaji pasukan JDT II dan perancangan yang dilakukan juga sangat berkesan apabila kita mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun ketumpulan jentera serangan membataskan hasrat kita.
“Bila berlaku keadaan seperti ini, barisan pertahanan akan turut merasa impaknya dan akibatnya, kita dihukum oleh pasukan lawan. Bersambung babak kedua, saya sudah kehabisan pemain dan terpaksa bermain corak bertahan sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih baharu JDT II, Echeverria Raul berpuas hati mengecapi kemenangan pertama dan berharap prestasi pemain dapat ditingkatkan pada perlawanan seterusnya.
“Kemenangan pertama mengemudi pasukan ini amat bermakna buat saya yang juga kemenangan pertama pasukan dalam saingan liga musim ini. Walaupun Kelantan lebih banyak mengasak kami, namun pemain berdaya menyaingi kekuatan mereka dan menafikan peluang menjaringkan gol.
“Sebaliknya, kami pula berjaya melakukan serangan balas dan berjaya menghasilkan dua gol dalam setiap babak permainan. Kemenangan ini menjadi pemangkin buat JDT II menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE