PETALING JAYA: Malaysia mempertaruhkan 80 peratus tenaga muda untuk memburu pingat pada Sukan SEA di Vietnam, 12 hingga 23 Mei depan.
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat perak mempertaruhkan 12 pemain, yang mana tujuh daripadanya berusia bawah 21 tahun, tiga pemain di antara umur 23 hingga 25 tahun dan dua pemain senior dalam skuad lelaki.
Malaysia juga menyenaraikan 12 pemain wanita yang beraksi dalam kategori A, iaitu kos ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana dianggap prospek pingat.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Abdul Talib Ahmad berkata, pendedahan kepada pemain muda penting sebagai langkah mempersiapkan mereka dengan perlawanan antarabangsa memandangkan sudah dua tahun tiada sebarang kejohanan akibat pandemik Covid-19.
“Mereka sudah bersama skuad kebangsaan lebih kurang dua tahun tetapi belum pernah merasai pertandingan antarabangsa. Saya risau kita akan menanggung rasa bersalah pada empat atau lima tahun akan datang jika kita hanya mengutamakan pemain senior sahaja buat masa ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kelmarin.
Penolong Setiausaha 1 PSM, Yusoff Ali berkata, latihan pusat skuad lelaki dan wanita akan diadakan di luar Kuala Lumpur, malah mereka akan meneruskan latihan sepanjang Ramadan.
Buat masa ini semua pemain masih beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) yang akan berakhir hujung minggu ini sebelum lapan pasukan terbaik berentap bagi merebut kemenangan dalam Piala Juara-Juara di Johor pada 20-26 Mac depan.
“Bagi saya, berdasarkan 18 perlawanan yang mereka sertai dalam Liga Sepak Takraw (STL) yang berlangsung selama tiga bulan ini, semua pasukan mendapat latihan yang cukup banyak bagi menghadapi Sukan SEA nanti.
“Kita akan menyertai enam acara iaitu bagi kategori lelaki; acara berpasukan, regu dan double manakala bagi kategori wanita pula acara berpasukan, quadran dan regu,” katanya.
Bagi skuad lelaki, PSM menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat perak dan satu gangsa manakala bagi skuad wanita pula dua gangsa.