LONDON: Memikirkan nasib kakitangan belakang tabir menjadi kekuatan kepada Chelsea untuk kekal fokus di tengah-tengah ketidaktentuan di kelab dan membawa pasukan melangkah ke separuh akhir Piala FA.
Jaringan Romelu Lukaku dan Hakim Ziyech membantu Chelsea membenam Middlesbrough 2-0 di tempat lawan semalam, dan anak-anak buah Thomas Tuchel terus mempamer prestasi baik.
Ini kemenangan kelima berturut-turut dilakar Blues dalam semua pertandingan, malah pemain tampak tidak terkesan dengan urusan jual-beli kelab yang dilakukan Roman Abramovich ekoran sekatan kewangan yang dikenakan
Kata Tuchel, dia sendiri terkejut dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemainnya di tengah-tengah kontroversi yang melanda.
“Dalam situasi begini, saya dan pemain masih mempunyai keistimewaan sekalipun keadaan tidak berjalan baik tetapi kami ada tanggungjawab kepada ramai orang di luar sana yang tidak diberi tumpuan atau keistimewaan.
“Ada 700 atau 800 pekerja Chelsea bimbang memikirkan apa akan berlaku selepas ini, malah bertanya apakah mereka akan kekal di kelab jika sesuatu terjadi?
“Menjadi tanggungjawab saya dan pasukan untuk menunjukkan semangat yang betul, positif, dan tidak meratapi diri sendiri. Sekalipun diselubungi rasa bimbang, kita tidak boleh ubah keadaan,” kata Tuchel. – AGENSI