KUALA LUMPUR: Pemain Harimau Malaya akan didenda hanya kerana salah memakai kasut atau menggunakan telefon bimbit ketika dalam latihan.
Itu antara peraturan yang diperkenalkan pengendali baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon, malah pemain menjangkakan ia akan menjadi lebih ketat apabila pasukan berlepas ke Singapura hari ini untuk menghadapi tiga perlawanan persahabatan.
Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim berkata, denda yang dikenakan adalah untuk mendisiplinkan pemain dan mengingatkan mereka betapa besarnya tanggungjawab yang digalas apabila menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Sebenarnya dalam senarai itu banyak, contohnya kalau kita salah pakai kasut waktu latihan kena denda RM50 ke RM100, hari perlawanan tidak boleh main telefon.
“Itu sahaja yang saya boleh cakap, saya tidak boleh kongsi banyak.
“Sekarang memang lebih bagus… Bukan sebelum ini tidak bagus. Maksud saya sekarang lebih teratur dan berdisiplin, kita ada senarai-senarai semua apa yang kena buat dan tidak boleh buat. Kalau tidak buat ini kena denda, tidak buat itu kena denda.
Kali pertama
“Semua pemain dapat ikut dengan baik, bagi saya ada pemain yang kali pertama kena begini.
“Mungkin di Malaysia sebelum ini pernah ada juga datang lambat kena denda dan sebagainya,” kata Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey.
Menurut Faisal, peraturan yang diperkenalkan itu masih berjalan dalam keadaan normal untuk latihan pusat skuad kebangsaan dan akan dilaksanakan lebih ketat apabila skuad negara bertolak ke Singapura hari ini.
Mengulas mengenai suasana ketika ini, Faisal berkata, semua pemain nampak gembira dan tidak sabar untuk mengharungi tiga aksi persahabatan di Singapura minggu ini.
“Jurulatih juga ada cakap dia tidak sabar untuk menantikan perlawanan pertama dan apa yang akan berlaku…Kita sebagai pemain boleh buktikan bahawa kita adalah pasukan yang bagus sebenarnya.
“Selain itu, jurulatih juga cakap semalam (kelmarin) kenapa kita tidak muncul juara Piala AFF 2021, dia kata kita sepatutnya boleh jadi juara. Kita pasukan yang bagus, dia datang ke sini (Malaysia) bukan untuk latih dan ajar kita tetapi, dia datang untuk sokong dan beri perubahan baharu,” katanya. – UTUSAN