PETALING JAYA: Memiliki peluang baik untuk memahat sejarah, Pearly Tan-M. Thinaah sedih dan kecewa langkah mereka pada kejohanan All England disekat beregu No. 64 dunia, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan kelmarin.
Pearly-Thinaah bermula langkah kanan untuk bergelar pasangan wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir kejohanan badminton tertua di dunia itu selepas menang 21-15 di set pembukaan.
Pertukaran corak permainan di set kedua menghukum beregu negara itu apabila tumpas 17-21, sebelum mereka kehabisan tenaga di set penentuan dan kalah mudah 9-21 di Birmingham Arena.
Ini kali kedua beregu No. 15 dunia dan juara Terbuka Switzerland 2021 itu kandas di peringkat lapan terbaik selepas langkah mereka disekat pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida tahun lalu.
“Saya rasa sangat sedih dan kecewa kerana kami mempunyai peluang baik untuk ke separuh akhir.
“Kami akan mengambil kekalahan ini sebagai pengajaran untuk beraksi dengan lebih baik,” kata Thinaah.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui, pasangan negara itu kehabisan tenaga kerana menggunakan strategi yang salah di set kedua.
“Pearly dan Thinaah bermain hebat di set pembukaan. Mereka menyerang dan sangat positif, namun semuanya berubah selepas mendahului 14-11 di set kedua.
“Mereka mula bermain secara bertahan dan menunggu lawan membuat silap. Pada peringkat seperti ini, mereka tidak patut menggunakan pendekatan bertahan, sebaliknya harus memberi tekanan kepada lawan untuk memaksa mereka membuat kesilapan,” kata Rexy.
Sementara itu, harapan Malaysia dalam beregu campuran berakhir selepas pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalami kekalahan keenam berturut-turut kepada gandingan No. 2 dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China 15-21, 15-21.