PETALING JAYA: Dion Cools menyifatkan skuad Harimau Malaya menampilkan prestasi yang baik ketika menundukkan Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Filipina di Stadium Nasional, Singapura semalam.
Jelas pemain terbaik perlawanan itu, berkata setiap jurulatih memiliki falsafah permainan berbeza dan apa yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan Gon membuahkan hasil.
“Setiap jurulatih mempunyai filosofi yang tersendiri. Tekanan yang berbeza ketika memegang bola dan cuba untuk mencipta gerakan. Semua berjalan lancar hari ini (kelmarin). Satu persembahan yang cukup cemerlang,” katanya ketika ditanya perbezaan dibawa Pan Gon dengan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Pemain Zulte Waregem itu diberikan kepercayaan bermain selama 90 minit oleh Pan Gon dengan beraksi di posisi asalnya pertahanan kanan dan dia mengakui rakan sepasukannya berkerja keras serta menampilkan aksi cemerlang meskipun belum 100 peratus.
“Pemain dan staf pasukan telah bekerja dengan keras. Saya mengharungi perjalanan yang panjang untuk sampai ke sini. Ianya satu hari yang baik untuk negara dan gembira.
“Mungkin belum 100 peratus dan kami semua masih cuba mengikuti arahan yang diberikan dan ia memerlukan masa,” ujar pemain berusia 27 tahun itu.
Dion sentiasa memberikan sokongan baik ketika pasukan negara dalam transisi menyerang dan juga bertahan sekaligus memainkan peranan penting dalam kemenangan Malaysia.
Pada aksi di Stadium Nasional, Akhyar Rashid membuktikan minit permainan yang kurang di peringkat domestik tidak langsung mengganggu prestasinya apabila dia berjaya meledak dua gol untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat jurulatih dari Korea Selatan itu.
Pasukan negara akan turun berdepan Singapura Sabtu ini, diikuti dengan aksi menentang Albirex Nigata pada 28 Mac. – UTUSAN