MANDALIKA, Indonesia: Miguel Oliveira berlumba dengan penuh emosi dan keberanian untuk menjuarai perlumbaan MotoGP, Grand Prix Indonesia yang dibayangi hujan dan kemalangan, sebentar tadi.
Pelumba KTM dari Portugal itu menamatkan saingan dengan masa 2.205 saat (s) di hadapan juara dunia, Fabio Quartararo dari Perancis, yang bermula dari petak pertama.
Seorang lagi pelumba Perancis, Johann Zarco (Ducati) ketinggalan 3.158ss untuk menamatkan saingan di tangga ketiga dalam perlumbaan dikurangkan daripada 27 kepada 20 pusingan atas faktor keselamatan.
Saingan Litar Jalanan Antarabangsa Mandalika itu juga tertunda selama 75 minit akibat hujan lebat ketika perlumbaan kembali ke Indonesia buat kali pertama sejak 1997.
Apabila ia akhirnya bermula, Quartararo mendahului hingga selekoh pertama sebelum dipintas oleh Oliveira dan pelumba Ducati, Jack Miller dari Australia.
Oliveira menghabiskan beberapa pusingan di belakang Miller sebelum menyedari dia berpeluang menjarakkan kedudukan sebaik sahaja trek yang basah mulai kering.
Sementara itu, juara dunia enam kali, Marc Marquez diketepikan akibat gegaran otak selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi pemanas badan di sebelah pagi yang menyaksikan di melambung di selekoh ketujuh. – AGENSI