NS Antlers berdepan misi hidup mati - Utusan Malaysia

NS Antlers berdepan misi hidup mati

PEMAIN NS Antlers bakal berdepan cabaran terbesar mereka dalam perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Negeri Sembilan (NS) Antlers tidak gentar untuk berdepan juara Liga Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) ATM Guardians dalam aksi terakhir Kumpulan A hari ini untuk memburu tiket ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL.

Pengurus pasukan, Mohd. Syaharin Ismail berkata, kejayaan menewaskan KPT-Masum Knights kelmarin menghidupkan peluang pasukan untuk melepasi peringkat kumpulan, sekali gus meniupkan semangat pemain agar terus melakar kemenangan.

Katanya, persediaan pemain berada di tahap terbaik dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan kesemua pemain yang dibawa.

ATM Guardians bakal menjadi halangan terbesar NS Antlers untuk mara ke separuh akhir.

“Ini adalah misi hidup mati bagi Negeri Sembilan Antlers dan kita perlu bermain bermati-matian sekiranya ingin menempah tiket ke separuh akhir kejohanan.

“Walaupun sedia maklum akan kemampuan pasukan ATM Guardians, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat juang pemain yang mahu mencipta kejutan. Peluang itu ada, kita hanya perlu merebutnya,” katanya.

Negeri Sembilan Antlers tewas aksi pembukaan di tangan pasukan tuan rumah, Johor Tigris sebelum bangkit menewaskan KPT-Masum Knights.

Dalam masa sama, katanya, pemain juga perlu meningkatkan kualiti permainan baik dari segi servis mahupun strategi ketika bertahan agar lawan tidak mudah mengutip mata.

“Walaupun rekod pertemuan dengan ATM Guardians sebelum ini dilihat seimbang, itu tidak bermakna kita akan mengambil mudah tentangan diberikan pasukan lawan yang turut mahu ke pusingan seterusnya.

“Pada perlawanan pembukaan, kita lihat aksi lawan ketika menentang KPT-Masum Knights agak goyah, mungkin di situ kita boleh pelajari sesuatu untuk digunakan pada perlawanan esok,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya