JOHOR BAHRU: Kejayaan mengejutkan juara Liga Premier, ATM Guardians dalam aksi akhir kumpulan kelmarin, menaikkan semangat Negeri Sembilan (NS) Antlers untuk menjadikan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder mangsa kedua pada separuh akhir Piala Juara-Juara STL malam ini.
Rekod baik dalam dua pertemuan dengan pasukan ibu kota itu pada saingan Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) meningkatkan keyakinan anak-anak buah Shahibol Mazlan untuk memburu tiket final apabila mereka berentap sekali lagi di Iskandar Malaysia Studios.
“Menentang pasukan paling konsisten dalam liga Premier (ATM Guardians) bukan tugas yang mudah, mengalahkan mereka menjadi motivasi buat pemain untuk meneruskan rentak permainan esok (hari ini).
“Bercakap mengenai motivasi, kami menewaskan KL Thunder dalam dua perlawanan liga, ini memberi keyakinan untuk mengulangi kejayaan tersebut.
“Saya 80 peratus yakin kami akan menang esok,” kata pengurus pasukan NS Antlers, Syaharin Ismail.
Kata Syaharin, pemainnya sudah membuat persiapan terbaik menjelang pertemuan malam ini dan jurulatih turut menekankan aspek pertahanan yang dilihat penting pada perlawanan itu.
Katanya, sandaran akan terus diletakkan kepada tekong, Haziq Hairol Nizam untuk menyerang dengan lebih berkesan selain membantu pasukan bertahan dengan baik.
“Pemain perlu pastikan first ball dimanfaatkan sebaiknya bagi mengutip mata begitu juga dalam keadaan dead ball. Dengan cara itu, kita akan peroleh kemenangan.
“Saya harap pemain tidak terlalu yakin sebaliknya beraksi mengikut perancangan ketua jurulatih selain mampu menyerap tekanan sepanjang perlawanan,” katanya. – UTUSAN