PARIS: Gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan sudah muak dengan Neymar dan sedang mencari jalan untuk menyingkirkan penyerang Brazil itu.
Neymar beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Khamis lalu yang menyaksikan PSG disingkirkan oleh Real Madrid.
Dia gagal membawa impak dan tenggelam dengan kehebatan penyerang Real, Karim Benzema yang meledak hatrik ketika membantu Los Blancos bangkit menumpaskan PSG secara agregat 3-2 untuk mara ke suku akhir.
Biarpun mencipta gerakan untuk gol Kylian Mbappe, wartawan bola sepak Perancis, Romain Molina mendakwa PSG telah memutuskan untuk ‘menyingkirkan’ pemain berusia 30 tahun itu.
Seorang lagi wartawan bola sepak, Daniel Riolo menyerang bekas bintang Barcelona itu yang disifatkan lebih menonjol di pesta atau acara glamor berbanding di atas padang.
“Sukan peringkat tertinggi adalah mengenai kerendahan hati dan kekuatan mental tetapi PSG pula bersedia pergi ke Minggu Fesyen dan berada dalam TikTok.
“Neymar adalah badut. Dia perlu dipecat. Dia bukan lagi pemain bola sepak. Dia sepatutnya pergi ke minggu fesyen.
“Pada Julai nanti ada kejohanan poker dunia, saya akan membawanya bersama saya, itulah kepakarannya,” kata Riolo.
Neymar telah meledak 91 gol buat PSG sejak tiba dari dari Barcelona dengan rekod dunia 198 juta pound (RM1.08 bilion) pada 2017 tetapi hanya membuat 83 penampilan liga dalam tempoh lima tahun.
Sumbangannya semakin berkurangan musim ini, setelah menjaringkan empat gol dalam 19 perlawanan. – AGENSI