IPOH: Negeri Sembilan (NS) Antlers terus memberi tekanan kepada Kuala Lumpur (KL) Thunder dalam perebutan gelaran naib juara Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 selepas mengejutkan Penang Black Panthers 2-1 dalam aksi mendebarkan di Stadium Indera Mulia di sini sebentar tadi.
Dengan kejayaan ini, Antlers yang mempunyai baki dua perlawanan iaitu bertemu Selangor Pistons esok dan Johor Tigris pada Ahad mengutip 20 mata keseluruhan.
Penang Black Panthers yang sehingga perlawanan ini menduduki kedudukan ketiga, hanya boleh menyalahkan diri kerana gagal mengutip mata diperlukan.
Dalam perlawanan tadi, Penang Black Panthers nempamer permainan bertenaga di set pertama.
Trio Mohd. Faizal Mohd. Fuad, Aekasit Naphom dan Muhammad Zaim Razali berganding baik untuk mengatasi Mohamad Hisham Mat, Muhamad Hafizul Hayazi dan Zulefendi Sumari 21-17 di set pertama.
Menyedari tekongnya, Hisham kurang menjadi, Antlers memasukkan Yushanif Rosli pada awal set kedua.
Kemasukkan tekong ‘pinjaman’ dari Perak itu berjaya menstabil pasukan itu untuk Antlers bangkit dengan kemenangan 21-19 untuk memaksa tie-break.
Set penentuan tampak menihak kepada Panthers yang meluru 4-0 dan kemudian 8-2.
Bagaimanapun Antlers berjaya mengejar dan merapatkan kedudukan hingga kedudukan terikat 19-19.
Trio Negeri Sembilan itu berjaya meraih dua mata diperlukan untuk menamatkan perlawanan 12-19 untuk mengecewakan pasukan Pulau Mutiara itu. – UTUSAN ONLINE