MSL mampu cungkil lebih ramai bakat baharu - Utusan Malaysia

MSL mampu cungkil lebih ramai bakat baharu

AHMAD Faizal Azumu melancarkan Liga Sukan Malaysia di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua berpeluang menjadi juara menerusi Liga Sukan Malaysia (MSL) yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan misi menggalakkan orang ramai bersukan di peringkat daerah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran awal MSL adalah menarik penyertaan 140,000 orang bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, sekali gus berpotensi mencungkil bakat-bakat baharu.

“Sebagai permulaan, lima sukan iaitu badminton, bola jaring, bola keranjang, futsal dan sepak takraw dipilih bagi penganjuran MSL ini, di setiap daerah di seluruh negara,” katanya selepas pelancaran MSL di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam, Seksyen 21, di sini hari ini.

Menurut beliau, liga tersebut akan bermula esok sehingga Ogos tahun ini dengan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) setiap daerah di semua negeri dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan MSL mengikut sukan yang telah dipilih.

Ahmad Faizal berkata, mana-mana remaja yang berminat untuk menyertai pertandingan MSL boleh menghubungi JBSN daerah masing-masing.

“Mana tahu pegawai pencari bakat daripada persatuan kebangsaan atau negeri kebetulan hadir semasa pertandingan berlangsung dan nampak potensi seseorang remaja yang boleh dicungkil untuk menjadi atlet kebangsaan.

“Penganjuran sukan ini tidak bertindih dengan penganjuran sukan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan MSL turut mendapat kerjasama daripada kementerian itu sendiri.

“Apapun, saya harap apabila ada penganjuran MSL ini, ramai remaja boleh menyertainya sebagai salah satu wadah bagi mereka menjalani aktiviti yang sihat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya