PETALING JAYA: Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mengesahkan ‘sebelah kaki’ Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sudah berada di dalam badan induk asia itu selepas menerima permohonan MSC menjadi ahli gabungan mereka.
Permohonan itu turut disokong Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha untuk melakukan kemajuan dan perkembangan kepada sukan sepak takraw Malaysia.
Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sokongan PPS itu semakin menguatkan peluang MSC untuk diterima menganggotai Astaf secara rasmi tidak lama lagi.
“Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebelah kaki MSC kini seolah-olah sudah di ambang rumah Astaf.
“Astaf dimaklumkan MSC bahawa Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd. Yusof selain menyatakan sokongan kepada MSC dalam surat bertarikh 28 Februari 2022, beliau tidak mempunyai halangan berhubung permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan Astaf.
“PSM berharap dengan pembayaran tersebut, Astaf akan mempertimbangkan kelulusan kemasukan PSM sebagai ahli gabungan Astaf sebagaimana permohonan yang telah dibuat oleh PSM pada 28 Februari 2022.” https://t.co/Svylnd0DdK
— Utusan Malaysia (@UMonline) March 3, 2022
“Beliau juga tidak membantah permohonan MSC untuk bertindak sebagai badan induk pentadbir sepak takraw di Malaysia demi kemajuan dan perkembangan sukan itu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama Jawatankuasa Eksekutif Astaf kelmarin (2 Mac 2022).
Kenyataan Halim itu menimbulkan tanda tanya tentang nasib Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang sudahpun melangsaikan hutang AS$15,000 (RM62,895) seperti yang dituntut Astaf sebagai syarat untuk kembali ke pangkuan badan sepak takraw Asia itu.
Semalam, PSM telah memohon pengurangan denda daripada Astaf sebanyak 50 peratus, namun memandangkan sehingga pukul 2 petang tadi, Astaf masih tidak memberikan maklumbalas mereka membuat bayaran penuh dalam tempoh yang ditetapkan.
Halim bagaimanapun enggan mengulas mengenai status sebuah lagi badan induk sepak takraw di Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang cuba memohon menyertai semula Astaf pada minggu lalu. – UTUSAN ONLINE