PETALING JAYA: Jadual Liga Malaysia (Liga M) 2022 telah disusun dengan menjangkaan beberapa perlawanan terpaksa ditunda gara-gara Covid-19.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) percaya, penundaan yang berlaku dalam empat aksi Liga Perdana dan satu Liga Super pada hari pertama saingan dibuka tidak akan menjejaskan kalendar pertandingan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memberi jaminan Liga M 2022 akan berjalan seperti dirancang sekalipun terpaksa berdepan halangan awal.
“Semasa kita membuat kalendar musim ini, Kita memang mengambil kira keadaan pada ketika ini lebih-lebih lagi dengan virus Omicron yang melanda negara kita.
“Cuma saya amat berharap perlawanan minggu pertama, minggu kedua dan ketiga dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“Jika semuanya okay, saya berharap selepas ini jadual perlawanan yang telah kita susun tidak akan terganggu,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Liga M yang membuka tirai kelmarin menunda lima perlawanan antaranya membabitkan Sri Pahang menentang Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam semalam.
Perlawanan itu ditunda selepas 20 pemain serta pegawai Tok Gajah disahkan positif Covid-19.
Sri Pahang yang menjalani tempoh kuarantin bermula, kelmarin, turut memohon penundaan perlawanan menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selasa ini, selain aksi pertama Piala FA bertemu Manjung City FC pada 12 Mac.
Dalam aksi Liga Perdana Perak FC menentang Kelantan United yang sepatutnya diadakan malam semalam di Stadium Perak, Ipoh turut ditunda gara-gara alasan sama.
Menurut Stuart, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dengan mendapatkan kerjasama Kementerian Kesihatan bagi memperoleh statistik lebih tepat.
“Buat masa ini jika tak ada masalah lain yang berbangkit, kita masih mampu kejar kembali jadual perlawanan yang tertunda dan mengikut perancangan awal yang telah kita aturkan,” ujarnya.
Mengambil kira situasi Piala FA pada musim lepas, Stuart memberitahu, MFL memutuskan untuk menganjurkan kembali pertandingan tersebut pada saat akhir kerana ketika itu kes Covid-19 semakin menurun. – UTUSAN