PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kritikan yang ditujukan terhadap tonggak pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd. Radzak sebagai keterlaluan.
Aidil dikritik hebat oleh penyokong tempatan ketika Malaysia kalah 2-1 kepada Singapura, Sabtu lalu dan dikatakan punca kepada dua jaringan yang dijaringan pemain lawan, Ikhsan Fandi dalam aksi di Stadium Nasional, Singapura.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail yang terkilan dengan sikap segelintir penyokong yang tidak menghargai pengorbanan pertahanan berusia 34 tahun itu bersama skuad kebangsaan, sambil menggelar segelintir mereka sebagai ‘toksik’.
“Toxic mentality (mentaliti toksik) dan mudah lupa. Nak bola sepak maju tapi kepala masing-masing tahap low class (kelas rendah). Semua lupa pengorbanan setiap pemain yang pernah mewakili negara.
“Semua lupa kejayaan dan pengorbanan mereka, seolah olah tiada makna. Kesian bila lihat pemain yang berkorban untuk pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan tidak dihargai,” kata Tunku Ismail menerusi komen dalam akaun Instagramnya.
Sejurus selepas kekalahan itu, segelintir penyokong mempersoalkan mengapa pemain itu diturunkan, selain mengharapkan dia mengumumkan persaraan buat kali kedua.
Lebih melampau, ada yang sanggup mengubah wajah kapten skuad kebangsaan itu menyamai muka kapten Manchester United, Harry Maguire. – UTUSAN ONLINE