MELAKA: Melaka United (MU) mudah melepasi halangan pusingan pertama Piala FA selepas menjinakkan pasukan Liga M3, PIB FC 4-0 dalam aksi berat sebelah di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Jelas, skuad Sang Kancil bukan tandingan buat PIB yang berstatus kelab nyata gagal menyaingi anak didik jurulatih Risto Vidakovic.
Empat gol diperolehi Melaka menerusi Emmanuel Oti (m-11), Adriano Narcizo (m-56) menerusi sepakan penalti dan pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (m-60 dan m-76).
Tuan rumah tidak perlu menunggu apabila pemain import dari Ghana, Oti meledakkan sepakan lambung membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-11.
Gol awal itu tidak menampakkan aksi bertenaga Melaka gagal mengambil kesempatan untuk menambah jaringan biarpun mempunyai banyak peluang terhidang.

Walaupun skuad Sang Kancil menguasai babak perlawanan namun jentera serangan diketuai Sony Norde, Ifedayo Olusegun dan Adriano Narcizo gagal menembusi benteng pelawat.
Begitupun, empat minit sebelum rehat Melaka hampir-hampir menambah gol kedua namun sepakan pemain import
dari Brazil, Narcizo meliar keluar biarpun berdepan dengan penjaga gol pelawat, Izzat Abd. Rahim.
Pada babak kedua, Melaka membawa masuk pemain kebangsaan, Norsharul Idlan Talaha bagi memperkukuhkan jentera serangan yang dilihat longlai pada babak pertama.
Kemasukan Norshahrul membawa nafas baru apabila dia hampir-hampir meledakkan jaringan kedua namun sepakan
kencangnya di hadapan pintu gol pelawat mengenai kaki pemain lawan sebelum bola melantun keluar pada minit ke-52.
Pada minit ke-56, Melaka dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Adriano untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Malang buat PIB apabila terpaksa beraksi dengan orang apabila pemainnya, Muhamad Syukri Azman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Helmi Ali selepas dengan sengaja menampan bola di kawasan kotak penalti.
Tuan rumah terus bertenaga apabila giliran Norshahrul Idlan meledakkan dua jaringan pada minit ke-60 dan minit ke-76. – UTUSAN ONLINE