LONDON: Bintang tempur UFC, Conor McGregor yang sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong tegar Manchester United mendakwa dia terbuka untuk membeli Chelsea.
Jutawan Rusia yang juga pemilik Chelsea, Roman Abramovich mengesahkan dia mahu menjual juara Eropah itu dengan tawaran bernilai 3 bilion pound (RM16.8 bilion).
Abramovich bersedia melepaskan kelab yang telah dibeli sejak 2003 dalam masa terdekat sekiranya mendapat permintaan terbaik kerana berdepan ancaman dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain , ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
McGregor, 33, memberi bayangan bahawa bersedia membincangkan perkara itu dan kemudian memberitahu Chelsea berhubung keputusannya.
“Saya mahu meneroka perkara ini @ChelseaFC,” katanya di Twitter.
Ia bukanlah kali pertama bintang tempur Ireland itu berminat untuk membeli kelab bola sepak.
Dia sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan pemegang saham individu terbesar di Celtic, Dermot Desmond berhubung keinginannya memperoleh saham kelab Scotland tersebut.
Bintang tempur kelahiran Dublin itu juga pernah menyatakan minat untuk menjadi pemilik Manchester United. – AGENSI