PETALING JAYA: Perseorangan wanita negara, S. Kisona melakar antara kemenangan terbesarnya selepas mengecewakan bekas pemain No. 1 dunia, Saina Nehwal dari India pagi tadi untuk mara ke suku akhir badminton Terbuka Switzerland.
Pemain No. 64 dunia itu menang 17-21, 21-13, 21-13 dalam masa 55 minit untuk mara ke suku akhir Jelajah Dunia pertamanya sejak Orleans Masters 2018.
Kemenangan itu meredakan sedikit tekanan Kisona yang dikritik hebat kerana prestasi buruknya sejak memenangi Sukan SEA pada 2019.
Kisona akan menentang Supanida Katethong dari Thailand malam ini untuk memburu tiket separuh akhir.
Dalam beregu lelaki, Malaysia akan diwakili Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di suku akhir.
Aaron-Wooi Yik mudah menumpaskan Bokka Navaneeth-B. Sumeeth Reddy 21-15, 21-14, manakala Yew Sin-Ee Yi menewaskan Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland 21-16, 21-12.
Juara Terbuka Jerman, Sze Fei-Izzuddin menghampiri kemenangan kedua mereka dalam tempoh tiga minggu dengan kemenangan 23-21, 21-18 ke atas Jeppe Bay-Lasse Molhede dari Denmark.
Tetapi mereka menghadapi pertemuan sukar dengan bekas juara remaja dunia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia. – UTUSAN