LONDON: Liverpool tiada masa untuk meraikan kejayaan menjuarai Piala Liga kelmarin kerana perlu turun semula ke padang esok berdepan Norwich pada pusingan kelima Piala FA.
Selepas menjulang trofi pertama musim ini dengan menumpaskan Chelsea menerusi penentuan penalti 11-10, Reds di landasan memburu empat kejuaraan dan sasaran seterusnya adalah Piala FA.
Pengendali pasukan, Jurgen Klopp dijangka melakukan rombakan, di mana pertahanan tengah, Ibrahima Konate yang masuk sebagai gantian ketika bertemu Chelsea mungkin menguatkan kesebelasan utama bersama Virgil van Dijk.
Kostas Tsimikas dijangka menggantikan Andy Robertson di bek kiri, manakala Trent Alexander-Arnold kekal di pertahanan kanan.
Curtis Jones yang langsung tidak disenaraikan di Wembley tetapi beraksi ketika membelasah Leeds United 6-0 minggu lalu dijangka mendapat tempat.
James Milner akan menggalas tugas kapten jika Klopp memutuskan untuk merehatkan Jordan Henderson.
Trio Mohamed Salah, Sadio Mane dan Luis Diaz mengetuai serangan ketika bertemu Chelsea, manakala Diogo Jota masuk sebagai gantian.
Klopp mungkin enggan mengambil risiko ketika liga masih panjang dan mereka mengekori rapat Manchester City dengan enam mata.
Divock Origi dijangka mengetuai serangan esok, bergandingan dengan Takumi Minamino dan Alex Oxlade-Chamberlain.
Sementara itu Henderson menegaskan, memburu empat kejuaraan bukan sasaran utama Reds.
“Saya rasa orang ramai terlalu terbawa-bawa tetapi kami sebagai satu pasukan tidak pernah terbawa-bawa.
“Kami gembira memenangi Piala Liga tetapi esok adalah hari baharu dengan cabaran berbeza.
“Kami akan beraksi dalam Piala FA, kemudian perlu mengharungi liga yang panjang,” katanya. – AGENSI