LONDON: Liverpool mungkin menjual Mohamed Salah dan melaburkan semula wang yang diperolehi untuk merekrut pemain baharu sama seperti yang dilakukan dengan Philippe Coutinho pada Januari 2018.
Bekas penjaga gol England dan Tottenham, Paul Robinson dalam wawancara bersama Football Insider bagaimanapun berkata, berbanding Coutinho yang kurang memberi kesan ketika meninggalkan Anfield, pemergian Salah dikhuatiri mewujudkan kelompangan.
Perjanjian Salah akan tamat pada Jun 2023, dan rundingan lanjutan kontrak tidak berjalan baik selepas Liverpool enggan memenuhi tuntutan gaji 400,000 pound (RM2.2 juta) seminggu.
“Kita pernah melihat Liverpool melakukan perkara ini (menjual bintang bagi membeli bintang) dengan Coutinho dan (Luis) Suarez.
“Wang 140 juta pound (RM774 juta) yang diperoleh hasil penjualan Coutinho memberi manfaat besar dengan pembelian Alisson (Becker) dan (Virgil) Van Dijk.
“Bolehkah mereka melakukannya sekali lagi? Secara peribadi, saya fikir Salah akan meninggalkan kekosongan besar yang sukar diisi,” kata Robinson.
Dalam perkembangan lain, gergasi bola sepak Itali, AC Milan yakin akan mendapatkan penyerang Liverpool, Divock Origi pada musim panas ini.
Bintang Belgium itu jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama sejak tiba di kelab lapan tahun lalu, namun memiliki reputasi sebagai ‘super sub’ atau pemain gantian yang hebat.
Kehadiran Luis Diaz, selain penyerang sedia ada seperti Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Diogo Jota dan Takumi Minamino menyebabkan peluangnya untuk menjadi pemain utama amat tipis.
“Sukar untuk menggembirakan semua orang. Sudah tentu ada pemain yang tidak gembira,” kata pengurus Reds, Jurgen Klopp. – AGENSI