MANCHESTER: Buat kali pertama, penyokong Liverpool akan menyokong Manchester United untuk mengalahkan Manchester City dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris di Etihad hari ini (12.30 pagi esok waktu Malaysia).
City mendahului liga dengan hanya enam mata mengatasi Liverpool, yang turut mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Itu bermakna, kekalahan kepada United akan membuka peluang buat Reds merapati kedudukan pendahulu liga.
Menjelang pertemuan dengan United, yang bersaing sengit untuk mencabar kelompok empat teratas, City menerima perkhabaran buruk apabila tonggak pertahanan, Ruben Dias tidak dapat diturunkan.
Dias yang beraksi dalam 25 daripada 27 perlawanan Liga Perdana musim ini terpaksa disisihkan empat hingga enam minggu akibat kecederaan hamstring.
Pertahanan Belanda, Nathan Ake turut terlepas perlawanan kerana cedera ketika membantu City menewaskan Peterborough 2-0 dalam Piala FA, Selasa lalu.
“Sudah tentu saya mahu dia bermain tapi malangnya, Dias tidak boleh beraksi akibat kecederaan hamstring.
“Kami ada beberapa pemain yang boleh mengisi kekosongannya, ada 14 hingga 15 pemain dalam pasukan.
“Dengan pemain-pemain ini kami akan cuba bersaing dan bermain baik. Mustahil anda boleh beri tentangan kalau tidak bermain bagus,” kata Guardiola.
Sementara itu, United masih berharap Scott McTominay (masalah kesihatan) dan Edinson Cavani (pangkal paha) dapat melepasi ujian kecergasan untuk diturunkan.
Begitupun, rekod buruk City setiap kali berdepan United di laman sendiri akan menjadi motivasi buat anak-anak buah Ralf Rangnick untuk melakar kemenangan, sekali gus menyelamatkan kedudukan empat terbaik.
City hanya menang sekali daripada tujuh pertemuan dengan United di Etihad tetapi mengalahkan lawan mereka 2-0 dalam aksi terakhir di Old Trafford, November lalu.
Phil Foden yang semakin meningkat dijangka membentuk trio serangan City bersama Riyad Mahrez dan Raheem Sterling dengan formasi 4-3-3 menjadi pilihan Guardiola.
Biarpun agak tenggelam sejak akhir-akhir ini, Cristiano Ronaldo kekal mengetuai serangan United sambil dibantu Bruno Fernandes, Anthony Elanga dan Jadon Sancho.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan tumpuan, Arsenal yang memberi tekanan untuk mencabar kelompok empat teratas akan bertandang ke Watford hari ini. – AGENSI