LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui, Liverpool bernasib baik ketika menewaskan West Ham 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu, Manchester City.
Jaringan Sadio Mane pada minit ke-27 memastikan kemenangan Reds di Anfield, bagaimanapun Klopp berkata, faktor tuah menyelamatkan pasukannya daripada menjadi mangsa kejutan West Ham.
“Saya tidak tahu sama ada kami akan mengingati perlawanan ini sebagai salah satu yang paling penting.
“Perlawanan yang amat sukar tetapi kami melakukannya dengan baik pada separuh masa pertama.
“Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi tidak melakukannya dan kemudian permainan menjadi sangat terbuka.
“Peluang besar untuk (Jarrod) Bowen (pemain lawan) meledak gol, dan beberapa kali juga kami gagal mengawal (Michail) Antonio.
“Saya beritahu pemain selepas perlawanan, jika anda tidak bermain dengan teratur, anda perlu bertahan dengan penuh semangat dan itulah yang kami lakukan,” kata pengurus Liverpool itu.
Manuel Lanzini memperoleh peluang keemasan untuk meledak gol penyamaan pada babak kedua apabila berjaya menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dan menolak bola ke gawang.
Bagaimanapun, Trent Alexander-Arnold muncul penyelamat dengan mengeluarkan bola dari atas garisan.
Bek kanan England itu juga beberapa kali menyelamatkan pasukannya dalam situasi bahaya, malah mencipta gerakan untuk gol Mane, sekalj gus dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan. – AGENSI