PETALING JAYA: Lima wakil Malaysia melangkah ke separuh akhir badminton Terbuka Switzerland dengan satu tiket final sudah dalam genggaman.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kemaraan negara di Basel selepas menumpaskan wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dalam beregu lelaki.
Diletak sebagai pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik menang mudah 21-11, 21-13, sekali gus menebus dendam tahun lalu apabila tumpas kepada pasangan sama dalam kejohanan sama di separuh akhir.
Menanti mereka pada separuh akhir malam ini adalah pasangan Indonesia dan pilihan keempat, Fajar Alfian-Rian Ardianto yang menyingkirkan beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-12, 9-21, 22-20.
Cabaran Malaysia dalam beregu lelaki turut diteruskan juara Terbuka Jerman, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Selepas tersingkir awal di All England minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin kembali mempamer permainan meyakinkan untuk mengalahkan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.
Pilihan kelapan kejohanan itu akan menentang satu lagi beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Rambitan.
Dalam beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berhempas pulas untuk menewaskan pasangan India, Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki 22-20, 23-21, sekali gus menempah pertemuan dengan pilihan ketiga, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.
Sementara itu, Malaysia sudah mengesahkan satu tiket final selepas Tai Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai akan berentap sesama sendiri di separuh akhir beregu campuran malam ini.
Kian Meng-Pei Jing mara selepas menang 11-21, 22-20, 21-15 ke atas pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, manakala Soon Huat-Shevon menundukkan beregu Perancis, William Villeger-Anne Tran 21-17, 21-12.
Terdahulu, hasrat perseorangan wanita, S Kisona untuk terus mencipta sensasi di Switzerland tidak kesampaian apabila kalah kepada pemain Thailand, Supanida Katethong di suku akhir.
Selepas mengejutkan bekas pemain No. 1 dunia dari India, Saina Nehwal semalam Kisona ditunjukkan jalan keluar oleh Supanida 11-21, 12-21.
Nasib sama turut menimpa beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang tewas 18-21, 18-21 kepada gandingan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau. – UTUSAN ONLINE