Lewat ke Bangkok angkara Covid, bukan cuai - Chun Yong - Utusan Malaysia

Lewat ke Bangkok angkara Covid, bukan cuai – Chun Yong

SKUAD futsal kebangsaan terpaksa menangguhkan penerbangan ke Bangkok, Thailand kepada Selasa atau Rabu depan kerana lima pemain dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan skuad futsal kebangsaan berlepas ke Bangkok untuk Kejohanan AFF semalam bukan disebabkan kecuaian pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar dokumen vaksinasi pasukan, sebaliknya lima pemain utama dijangkiti Covid-19.

Ketua Jurulatih Malaysia, Chiew Chun Yong menafikan laporan sebuah portal sukan yang mengatakan FAM menanggung kerugian kerana terpaksa membatalkan penerbangan gara-gara seorang pegawainya tidak menyerahkan dokumen prosedur vaksinasi imigresen Thailand.

“Kami terpaksa menangguhkan rancangan asal untuk berlepas ke Bangkok hari ini disebabkan lima pemain utama positif Covid-19 baru-baru ini, namun mereka sudah pulih.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu surat pelepasan doktor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan belum juga mendapat surat kelulusan Travel Pass daripada pihak Thailand.

“Dengan situasi semasa tersebut, kami tidak mahu berlakunya sebarang masalah sama ada ketika berlepas di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) atau apabila tiba di lapangan terbang di Bangkok.

“Jika pemain-pemain ini terkandas atau tidak dibenarkan masuk ke Thailand, ia hanya akan menyulitkan lagi keadaan pasukan untuk berlatih bersama dan sebagainya.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, kami telah membuat keputusan untuk meneruskan kem latihan di Arena Futsal FAM dan menangguhkan perjalanan ke Bangkok.

“Pasukan hanya akan berlepas ke sana sama ada pada Selasa atau Rabu ini selepas segala permasalahan membabitkan lima pemain ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” kata Chun Yong.

Katanya, tidak timbul isu kerugian membabitkan kos penerbangan dan hotel kerana perkara itu sudah pun dimaklumkan serta diuruskan biarpun Malaysia terpaksa membatalkan beberapa perlawanan persahabatan yang telah dirancang untuk diadakan di Bangkok.

Skuad negara bagaimanapun akan tiba lebih awal sebelum sepak mula Kejohanan AFF 2022 iaitu dari 2 hingga 10 April in.

Malaysia akan membuka tirai Kumpulan A dengan bertemu Kemboja pada 2 April, diikuti Indonesia (4 April), Brunei (5 April) dan Thailand (6 April).

Pasukan negara turun dengan misi memburu tiga tempat terbaik untuk layak ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya