LONDON: Jurgen Klopp berkata, faktor sentimen perlu ada dalam bola sepak selepas dia memilih untuk terus memberi kepercayaan kepada Caoimhin Kelleher bagi menjaga gawang Liverpool ketika menewaskan Chelsea pada final Piala Liga semalam.
Reds menjulang trofi kesembilan dalam penentuan sepakan penalti dramatik 11-10, di mana Kelleher tidak menyelamatkan walau satupun sepakan lawan begitu juga penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.
Begitupun sepakan terakhir Liverpool yang diambil Kelleher menerjah ke gawang pada ketika tendangan Kepa tinggi melepasi palang.
Klopp boleh memilih penjaga gol utamanya, Alisson Becker tetapi memutuskan untuk setia kepada lelaki yang membantu mereka membawa pasukan ke final.
“Dalam bola sepak profesional juga harus ada ruang untuk sentimen.
Caoimhin Kelleher adalah seorang budak muda, bermain dalam semua pertandingan, jadi apa patut saya lakukan?
“Saya ada dua sisi – pengurus profesional dan manusia. Dalam hal ini, manusia menang, dia layak diturunkan,” kata Klopp.
Kemenangan itu meletakkan Reds kekal dalam perebutan empat trofi musim ini, namun Klopp enggan terbawa-bawa.
Liverpool masih bersaing sengit dengan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris, selain berada di pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara dan pusingan kelima Piala FA.
“Ini adalah permulaan, namun kami tidak bodoh. Kami sedar, tuah juga memainkan peranan, perlawanan boleh menjadi 5-5 dan memihak sesiapa sahaja hari ini,” katanya. – AGENSI