IPOH: Walaupun kedudukan mereka selaku naib juara sudah disahkan awal, Kuala Lumpur (KL) Thunder menamatkan cabaran Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 dengan bergaya.
Juara berganda musim lalu itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas juara baharu, ATM Guardians dalam perlawanan sengit di Stadium Indera Mulia di sini sebentar tadi.
Biarpun keputusan perlawanan sudah tidak bermakna buat kedua-dua pasukan, namun petembungan itu dilihat sebagai pertarungan ‘maruah’.
Kesudahannya, KL Thunder berjaya menebus maruah dan reputasi yang tercalar dalam kejohanan edisi kelapan.
Kedua-dua pasukan menampilkan regu terbaik masing-masing dalam suasana meriah dicetuskan penyokong ATM Guardians.
Dengan paluan gendang dan nyanyian, mereka berusaha menyemarak semangat juang trio ATM, Muhammad Adam Aiman, Muhammad Afifuddin Mohd. Razali dan Norfaizzul Abd. Razak
Pada masa sama mereka berusaha mengganggu tumpuan Muhammad Syahir Rosli, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir dengan laungan ‘sangkut’, ‘sangkut’ ketika hendak membuat servis.
Namun usaha mereka gagal menggugat konsentrasi trio KL Thunder yang menang 21-16 dan 21-14 . – UTUSAN ONLINE