PETALING JAYA: Selepas beberapa hari membisu, Rizal Ghazali akhirnya membuka mulut mengapa dia menolak panggilan menyertai latihan Harimau Malaya, iaitu disebab ada ahli keluarganya yang sedang sakit.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd. Saifuddin Abu Bakar semalam mengesahkan, beliau sudah menerima surat penjelasan daripada tonggak pertahanan Sabah itu kelmarin.
“Alasan yang diberikan adalah kerana terdapat ahli keluarganya sedang sakit sekarang,” katanya.
Itu bermakna, Rizal tidak akan menyertai dua aksi perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura, tiga hari kemudian.
Bagaimanapun kata Saifuddin, mengenai hukuman berat yang boleh dikenakan ke atas pemain berusia 29 tahun itu kerana menolak panggilan skuad kebangsaan tanpa sebarang alasan masih dalam pertimbangan.
“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai alasan dia, terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.
Rizal sebelum ini menolak tawaran untuk menggantikan Syahmi Safari yang meminta pengecualian kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.
Selepas mencetuskan kontroversi, malah dikatakan boleh digantung serta denda RM25,000, dia membuat naik gambar bapanya sedang menjalani rawatan di hospital dalam Instagram.