KOTA BHARU: Kelantan FC optimis mampu meraih kutipan RM2 juta hasil penjualan jersi The Red Warriors (TRW) bagi musim 2022 yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan menerusi syarikat 93 Sport.
Pemiliknya Norizam Tukiman berkata, sasaran tampak mampu dicapai apabila jualan jersi itu sudah mencecah ratusan ribu ringgit sepanjang tempoh promosi baru-baru ini.
Menurutnya, musim lalu TRW telah berjaya mencatatkan jualan jersi berjumlah RM1 juta sekali gus dalam mengukuhkan kantung kewangan pasukan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Musim ini kita gabungkan enam bahan dalam satu kain untuk mencipta kelainan baharu buat jersi TRW 2022.
“Kelantan FC turut tampil dengan tiga warna jersi iaitu merah, biru dan hitam. Merah masih lagi kekal sebagai jersi keramat untuk aksi dilaman sendiri,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jersi Kelantan FC di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di Panji semalam.
Norizam memberitahu, TRW berharap penyokong dapat terus berdiri teguh dengan membeli jersi ini dalam usaha mengukuhkan kantung kewangan pasukan.
Katanya, sokongan itu menjadi pemangkin buat TRW melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Jersi tahun ini ditawarkan pada dua harga pilihan iaitu RM199 bagi gred pemain dan RM69 gred penyokong.
“Saya ucapkan terima kasih kepada penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada TRW dengan membeli setiap barangan yang dikeluarkan oleh pasukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zamburger berkata, Kelantan Fc akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membendung penjualan jersi cetak rompak milik TRW.