LONDON: Manchester United belum pasti dapat menurunkan Bruno Fernandes dan Scott McTominay dalam aksi Liga Juara-Juara esok, namun lawan mereka, Atletico Madrid lebih malang kerana hilang lapan tonggak.
Kedua-dua pasukan berentap dalam aksi kedua di Old Trafford selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama bulan lalu.
Fernandes positif Covid-19 dan terlepas pertemuan menentang Tottenham kelmarin, manakala McTominay diketepikan akibat kecederaan betis.
Begitupun, sentuhan yang ditemui Cristiano Ronaldo ketika menewaskan Spurs 3-2 melegakan penyokong Red Devils.
Kapten Portugal itu meledak hatrik ketika menumpaskan Tottenham untuk memecah rekod penjaring terbanyak dunia.
“Kami telah melakukan kesilapan dalam perlawanan pertama dan saya fikir semuanya akan berjalan baik di aksi kedua, kami pasti akan mengalahkan Atletico di laman sendiri,” kata Paul Pogba.
ATLETICO OPTIMIS BIARPUN ‘TEMPANG’
Atletico bertemu United tanpa pemain sayap, Yannick Carrasco yang digantung perlawanan ketika tujuh pemain lain dihimpit kecederaan.
Thomas Lemar, Sime Vrsaljko, Mario Hermoso, Geoffrey Kondogbia, Matheus Cunha, Daniel Wass dan Jose Gimenez terlepas perlawanan akibat kecederaan.
Penyerang mereka, Antoine Griezmann bagaimanapun yakin, pasukannya terbang ke England bersama keyakinan tinggi.
“Kami memiliki pasukan yang mampu memenuhi misi (suku akhir) dan berjuang setiap saat,” katanya.
Griezmann dan Luis Suarez sedia diturunkan, namun Joao Felix dijangka mengetuai serangan.
Bermakna dua bintang Portugal, Ronaldo dan Felix akan menjadi tumpuan utama di Old Trafford. – AGENSI