LONDON: Bintang tempur UFC, Conor McGregor membuat tawaran bernilai 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion) untuk memiliki Chelsea.
Jaguh Ireland berusia 33 tahun itu, sebelum ini menyatakan hasrat untuk membeli pasukan Chelsea daripada Roman Abramovich juga menerusi Twitter.
Jutawan Rusia yang juga pemilik Chelsea, Abramovich mengesahkan dia mahu menjual juara Eropah itu dengan tawaran 3 bilion pound (RM16.8 bilion).
Abramovich bersedia melepaskan kelab yang telah dibeli sejak 2003 dalam masa terdekat sekiranya mendapat permintaan terbaik kerana berdepan ancaman dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Saya dengan ini membuat tawaran 1.5 bilion (pound),” tulis McGregor yang mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong tegar Manchester United.
Abramovich baru-baru ini mengesahkan kelab tersebut akan dijual dan menghapuskan hutang Chelsea sebanyak 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion).
Portal Mail Online, sebelum ini turut melaporkan Abramovich telah mengesahkan beliau dalam proses menjual Chelsea.
Jelas beliau, hasil jualan prospektif itu akan disumbangkan kepada mangsa perang di Ukraine. – AGENSI